Peperiksaan UPSR Akan Dihapuskan?
By admin. Filed in Uncategorized |Menurut surat khabar The Sun yang saya baca, Hua Zong (Kesatuan Bagi Persatuan Sekolah-Sekolah Cina Malaysia) menentang penamatan peperiksaan UPSR (Ujian Menengah Rendah). Menurut mereka lagi Upsr adalah peperiksaan yang penting untuk menilai pelajar-pelajar setelah 6 tahun menempuh persekolahan peringkat rendah.
Kesatuan ini membuat kenyataan ke atas cadangan Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksan UPSR dan PMR( Penilaian Menengah Rendah).Kesatuan ini juga menyatakan bahawa kerajaan harus menyerahkan isu ini kepada pakar di dalam bidang pendidikan untuk membuat kajian yang mendalam berasaskan persekitaran pendidikan, mentaliti pelajar-pelajar dan tingkahlaku mereka terhadap sistem pembelajaran dan peperiksaan.
Pandangan pihak-pihak yang terlibat dengan bidang pendidikan juga harus diambil kira sebelum membuat keputusan akhir. Ini bagi mengelakkan pelajar-pelajar daripada menjadi mangsa akibat membuat keputusan yang terburu-buru.
Tan Sri Pheng Yin Huah iaitu Presiden Hua Zong pula berkata berdasarkan kepada analisis awalan mereka, UPSR masih diperlukan oleh pelajar-pelajar bagi mengukur peringkat pemahaman pelajar tentang topik-topik yang dipelajari dan perkembangan pembelajaran mereka.
Beliau berkata peperiksaan awam dalah menjadi suatu motivasi kepada pelajar-pelajar untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
Hua Zong juga menyatakan bahawa mereka bimbang sekiranya kedua-dua peperiksaan awam dimansuhkan pada masa yang sama , ia akan mengakibatkan pelajar-pelajar tidak serius dengan pembelajaran di sekolah rendah serta guru-guru juga kurang bermotivasi . Seterusnya akan menyebabkan kualiti pendidikan jatuh . Masalah pelajar yang tidak mampu menerima pelajaran di peringkat menengah juga akan wujud.
Hua Zong berpandangan bahawa UPSR tidak seharusnya dimansuhkan , kerana ia adalah peperiksaan penting untuk menilai pencapaian pelajar-pelajar setelah tamatnya 6 tahun pembelajaran pada peringkat sekolah rendah. Lagipun, pelajar-pelajar di sekolah rendah pada dasarnya belum lagi mencapai tahap matang yang boleh memotivasikan mereka untuk belajar.
Pelajar-pelajar di sekolah menengah pula perlu mempelajari makna dan tujuan pendidikan. Peperiksaan SPM pula akan menjadi satu faktor motivasi untuk mereka belajar dengan lebih tekun. Oleh itu kesan-kesan atau akibat daripada memansuhkan peperiksaan PMR juga adalah kurang serius.
Hua Zong mencadangkan agar pihak kerajaan memperbaiki kebolehan para guru dan menggalakkan pelajar-pelajar agar lebih berminat dengan pembelajaran mereka.
Jika pelajar-pelajar boleh memahami dan menyerap isi-isi kandungan pelajaran yang diajarkan , mereka akan menjadi lebih yakin dan tidak akan gerun dengan peperiksaan.
Sumber : The Sun, 25 Jun 2010
Tags: pakar bidang pendidikan, pelajar-pelajar, peperiksaan, persekolahan, rendah, sistem pembelajaran, upsr



