Tag Archive
activities belajar child childre educational english fokus gigih ibu bapa ilmu inggeris kaedah kaunseling kecemerlangan kertas learning mendidik Motivasi mystar Mystar-A Mystar-B nota pelajar pelajaran pembelajaran pendidikan peperiksaan peperiksaan SPM perbincangan percubaan pmr psikologi pelajar pusat ramalan sejarah soalan soalan-soalan spm tips tuisyen tuition tumpuan upsr usaha usrah
Bincangkan Cerita Dengan Anak
Pada kali ini saya ingin mengajak anda sama-sama berkongsi pendapat tentang cara-cara mendidik anak-anak, moga-moga akan memperolehi manfaat daripada apa yang ingin saya kongsikan dengan anda.
Mungkin tak salah jika saya katakan perkongsian pendapat ini amat sesuai terutamanya pada ibu bapa yang pertama kali mendapat anak dan bagi ibu bapa yang kini baru sahaja mendapat tambahan cahaya mata dan sudah mula pandai bercakap.
Bagi ibu bapa yang rajin membacakan buku cerita kepada anak, adalah lebih baik jika anak turut sama berbual-bual dengan anda.
Jadikan ruangan membacakan buku cerita kepada anak anda sesuatu keadaan yang menimbulkan minat kepada mereka. Jadi anda perlu galakkan anak agar bertanya sekiranya ada yang tidak difahami. Contohnya “Agak-agak apa yang akan terjadi pada Sang Arnab?” ,”Nak tau kat mana arnab tu tidur?” “Agaknya dapat tak Sang Arnab tu kejar semula kura-kura?, ok kita sambung cerita”
Dengan cara ini kita dapat menarik anak-anak agar aktif dalam ruangan membaca buku cerita. Taklah mereka asyik mendengar sahaja. Kadang-kadang jika kita tidak menjadikan ianya satu situasi yang interaktif anak-anak mungkin cepat bosan atau pun mengantuk, betul tak?
Selain daripada itu kita juga perlu faham yang anak-anak ini mengambil masa untuk bertindakbalas pada soalan kita. Jadi , banyakkanlah bersabar dan tunggu sampai mereka berikan jawapan, mungkin betul atau mungkin salah. Tak mengapa , yang pentingnya anak-anak ini belajar berfikir untuk mencari jawapannya.
Dengan cara ini mereka juga akan terlatih untuk berfikir dan berani untuk bertanya serta memberikan jawapan.
Ok setakat ini dulu tip keibubapaan yang dapat kami sama-sama kongsi dengan anda semua, jika ada pendapat jangan segan-segan silu tuliskan komen di bawah. Moga-moga dengan komen anda semua dapatlah kita berkongsi dan memanfaatkan panduan ini demi kebaikan anak-anak kita semua .
Prinsip / Filosofi Pendidikan Anak
Hai semua, saya membaca artikel menarik di di http://harry.sufehmi.com mengenai falsafah pendidikan anak. Mendidik anak perlukan kebijaksanaan ibu bapa agar anak dapat dibimbing menjadi seorang yang berguna. Dalam artikelnya Saudara Harry menjelaskan lagi kaedah-kaedah yang terbaik untuk mendidik anak.
Menurut Saudara Harry lagi terdapat 4 falsafah utama untuk mendidik anak-anak iaitu :-
1. Mencapai persefahaman dengan pasangan anda tentang dasar-dasar atau perkara pokoknya
2. Konsep Untuk Faedah dan Kebaikan anak itu sendiri
3. Mengutamakan konsep membimbing dan bukannya arahan
4. Tumpukan Usaha pada Proses dan bukan pada Hasilnya
Mencapai persefahaman dengan pasangan anda mengenai dasar-dasar konsep membimbing anak adalah penting. Contohnya sepasang suami isteri telah sepakat untuk merujuk kepada buku-buku agama, merujuk kepada buku-buku atau ensaiklopedia tertentu, menggunakan laman-laman web yang dipercayai berkualiti dan sebagainya.
Konsep untuk faedah anak sendiri pula ialah di mana teguran ibu bapa kepada anak adalah untuk kebaikan anak itu sendiri. Menurut contoh yang diberikan oleh Saudara Harry adalah seperti berikut :-
CARA SALAH – “Eddy mesti belajar rajin-rajin ya nanti dapat keputusan yang bagus di sekolah, nanti kalau keputusan tak bagus ibu dengan ayah malu”.
CARA BETUL – ” Eddy mesti belajar rajin-rajin ya, bila dapat keputusan yang bagus, boleh masuk universiti yang hebat dan dapat belajar kursus yang Eddy minat”.
Menumpukan perhatian pada proses dan bukan hasil menurut saudara Harry lagi ialah supaya kita tidak terlalu berharap pada hasilnya kerana mendidik anak memerlukan usaha yang berulang kali dan tetap. Oleh itu pelbagaikanlah usaha-usaha mendidik anak , tumpukan pada prosesnya.
Oleh itu kita tidak akan merasa kecewa dan tersentak bila gagal mencapai hasilnya, tetapi melalui tumpuan pada proses, kita akan kembali fokus mengapa anak menjadi seperti itu dan bagaimana untuk mengatasinya(penyelesaian)
Sebenarnya saya sendiri pun melalui pengalaman ini dalam mendidik anak saya sendiri dan mendapati falsafah pendidikan anak ini amat berguna dipraktikkan dalam membimbing anak . Memang ternyata apa yang dibentangkan dalam post Saudara Harry di dalam blognya http://harry.sufehmi.com/ menjadi panduan yang amat bermanfaat untuk mendidik anak-anak. Oleh itu bagi mendapatkan gambaran yang lebih besar tentang falsafah atau filosofi mendidik anak-anak marilah kita ke blog Saudara Harry dengan klik pada pautan di atas. Wasalam
Belajar Untuk Hidup, Hidup Untuk Belajar
Barangkali anda telah mendengar beribu-ribu kali ayat-ayat di atas , sepanjang hidup kita sentiasa belajar tentang sesuatu. Nabi Muhammaad S.A.W juga pernah bersabda “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”
Kita sering membaca di akhbar akhbar dan mendengar berita tentang pelajar-pelajar Asia yang sering mendapat keputusan cemerlang di dalam pelajaran mereka.
Kita di Malaysia mengukur kecemerlangan pelajar dengan jumlah matapelajaran yang pelajar-pelajar perolehi A. Kejayaan memperolehi serangkai markah-markah A ini membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada para ibu bapa mereka. Adik saya sendiri pun pernah mendapat 5A di dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima(yang telah digantikan dengan UPSR pada tahun 1985). Kemudian mendapat 9A di dalam peperiksaan SPM pada tahun 1988.
Ketika itu ibu bapa saya begitu gembira dan berbangga dengan pencapaian adik perempuan saya tambahan lagi di kawasan tempat kami , adik saya seorang sahaja yang mendapat 9A.
Kini satu-satunya kebanggaan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah ialah apabila anak-anak mereka mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM. Tahun demi tahun semakin ramai pelajar-pelajar yang memperolehi markah A di dalam peperiksaan.
Pada masa yang sama juga kita sering terbaca di akhbar-akhbar dan lain-lain media bahawa pelajar-pelajar kita hanyalah menghafal fakta-fakta matapelajaran tetapi jarang-jarang memahami apa yang diajarkan kepada mereka. Apa yang sebenarnya berlaku ialah pelajar-pelajar belajar untuk menjawab soalan-soalan yang disediakan oleh pembuat-pembuat soalan peperiksaan di Kementerian Pelajaran Malaysia.
Adalah penting bagi pelajar-pelajar atau anak-anak kita memahami apa yang diajarkan bukan sahaja untuk lulus peperiksaan tetapi yang paling penting untuk menghadapi kehidupan di dunia sebenar.
Ibu bapa yang bijak dalam mendidik anak-anak menyedari bahawa anak-nak mereka perlu bijak di dalam sekolah dan juga di dalam kehidupan seharian.
Oleh itu anak-anak perlu dididik agar boleh berfikir bagi menyelesaikan masalah-masalah dalam kehidupan seharian.
Satu caranya ialah dengan menanyakan soalan yang berbentuk terbuka. Anak-anak juga digalakkan agar menerangkan sebab-sebabnya mereka melakukan sesuatu.
Dalam situasi yang baik dan munasabah, kiranya proses ini diteruskan dengan berulang-kali anak-anak kita akan menjadi mahir dalam mempelajari apa yang baik dan apa yang buruk bagi mereka dalam menjalani kehidupan mereka sehinggalah mencapai peringkat umur dewasa.
Kita boleh menjadi ibu bapa yang bijak dengan menunjukkan contoh teladan terhadap sistuasi-situasi yang berlaku di sekeliling anak-anak kita. Contohnya apabila menonton TV tentang sesuatu kisah di mana orang atau pihak yang baik menang, ini boleh dijadikan teladan yang sekaligus menjadi contoh pendidikan yang baik.
Apabila melancong dan makan angin ke tempat lain, kita melihat penduduk setempat melakukan sesuatu yang baik contohnya para nelayan di Terenggganu bersama-sama menaikkan ikan yang baru ditangkap ke daratan ini adalah satu contoh budaya tolong-menolong di antara sesama manusia atau masyarakat.
Contoh-contoh teladanyang baik ini tidak akan kehabisan kerana apa yang ibu bapa perlukabn ialah pemikiran yang kreatif dan kritis dalam menilai sesuatu situasi . Kemudiaannya dalam bahasa yang mudah terangkan kepada anak-anak anda. Satu contoh yang mudah ialah apabila berjalan di taman awam perhatikan orang membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan, ini adalah satu contoh teladan yang boleh dipindahkan kepada anak-anak.
Jika melihat kepada kesedaran masayrakat Malaysia sekarang perkara ini sangat penting diberikan perhatian dan dididik kepada anak-anak kerana pembuangan sampah dan masalah pencemaran alam sekitar adalah agak serius di Malaysia pada masa kini.
Sumber rujukan:Zaid Mohammad-Smart Parenting,New Sunday Times, MAc 28 2010,
Wikipedia.com
Asian Parenting Today- Jennifer Hor, Ho Ai Ling dan Jocelyn Oo,Penerbit :Rhino Press
